:::Jom KLik Banyak2:::

Tuesday, June 4, 2013

Hamil - Jangan Berdiet




Jangan berdiet

Berdiet semasa kehamilan mungkin berbahaya kepada anda dan bayi anda yang sedang membesar. Sesetengah diet boleh menyebabkan anda kekurangan zat besi, asid folik, dan vitamin dan mineral penting yang lain. Ingatlah bahawa pertambahan berat badan adalah salah satu tanda positif bagi kehamilan yang sihat. 

Wanita yang sempurna makan dan menambahkan berat badan dengan baik cenderung mendapat bayi yang sihat. Jadi, jika anda mengambil makanan segar, berkhasiat dan menambahkan berat badan, elok relaks saja. Anda memang sepatutnya menjadi lebih besar! 

Jika anda terlebih berat badan, anda boleh mengubahsuai diet anda, mengurangkan makanan ringan dan melakukan senaman (berjumpa dengan doktor anda dahulu). Kajian menunjukkan bahawa dalam keadaan ini, ia adalah selamat untuk tidak menambahkan atau mengurangkan berat badan semasa kehamilan anda kerana simpanan lemak badan anda akan membekalkan kalori yang secukupnya kepada bayi anda. 
Tambahkan berat badan secara perlahan

Penambahan berat badan berbeza di kalangan individu dan bergantung kepada banyak faktor. Walaupun berat anda akan diambil ketika anda berjumpa dengan doktor anda, ingatlah bahawa tiada bukti penambahan berat badan memberi kesan kepada kesihatan bayi anda. 

Purata tambahan berat badan semasa kehamilan adalah di antara lapan kilo dan 15 kilo. Tumpukan kepada pengambilan diet yang sihat: banyak karbohidrat, banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, protin dalam jumlah sederhana dan lemak dan gula dalam jumlah sedikit. 

Apabila berat badan anda bertambah, jumlah pertambahan juga adalah penting. Ramai wanita hanya menambah sedikit berat badan semasa trimester pertama dan akan meningkat secara berterusan, dengan jumlah paling banyak diletakkan pada trimester ketiga semasa bayi sedang giat membesar. 
Makan hidangan kecil setiap beberapa jam

Walaupun anda tidak lapar, kemungkinan bayi anda berasa lapar, jadi cuba makan setiap empat jam. Dan jika mabuk hamil, tidak suka makanan tertentu, pedih hulu hati atau ketakcernaan membuatkan anda sukar untuk makan, anda boleh cuba mengambil lima atau enam hidangan kecil daripada hidangan yang lebih besar untuk memudahkan badan anda menerima makanan. 

Ingatlah bahawa bayi anda yang sedang membesar kerap memerlukan zat makanan, jadi jangan tinggalkan apa-apa santapan. 
Makanan tak sesuai kadang-kala adalah OK

Anda tidak perlu meninggalkan semua makanan kegemaran anda disebabkan kehamilan anda. Tetapi makanan dan snek yang diproses dan pencuci mulut yang manis seelok-eloknya bukanlah makanan utama dalam diet anda. Jadi untuk snek, cuba makan buah pisang berbanding dengan ais krim atau sorbet beku buah-buahan berbanding dengan cendol. Tetapi jangan rasa bersalah jika anda hanya makan biskut kadang-kala. Nikmatilah setiap gigitan!

No comments: